Segamat, 17 Februari 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) telah menganjurkan Program Sejahtera 360 : Sihat Bersama Staf PTDI sebagai langkah meningkatkan kesejahteraan kakitangan. Program yang berlangsung dari jam 8.10 pagi hingga 9.00 pagi ini dikendalikan oleh En. Muhammad Safwan Kamirul Ain, merupakan inisiatif selaras dengan Amanat Ketua Pustakawan UiTM 2025 yang menekankan kepentingan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan warga kerja.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental, menggalakkan gaya hidup sihat, menangani krisis kesihatan yang semakin membimbangkan, serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif dan produktif. Sepanjang sesi, peserta menjalani pelbagai aktiviti seperti senaman ringan, teknik relaksasi, serta sesi penerangan mengenai amalan pemakanan sihat dan keseimbangan antara kerja dan rehat. En. Muhammad Safwan Kamirul Ain memimpin sesi ini dengan penuh bertenaga, memastikan setiap peserta mendapat manfaat maksimum daripada aktiviti yang dijalankan.
Sambutan terhadap program ini sangat menggalakkan, dengan maklum balas positif daripada peserta yang menyatakan aktiviti ini membantu mengurangkan tekanan kerja dan meningkatkan tahap tenaga sepanjang hari. Program ini diharapkan dapat diteruskan secara berkala bagi memastikan kesejahteraan kakitangan sentiasa diberi keutamaan.
Dengan kejayaan penganjuran Program Sejahtera 360: Sihat Bersama Staf PTDI, diharapkan usaha seperti ini dapat terus dilaksanakan bagi membudayakan gaya hidup sihat di tempat kerja, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan keseluruhan kakitangan PTDI.
Pautan Hebahan Media Sosial : hebahan sosial